norlaila@hmetro.com.my
ADA orang selalu berasa kurang yakin dengan diri sendiri baik daripada segi penampilan, perbualan (terutama jika bercakap dengan orang baru dikenali dan mempunyai kedudukan yang dianggap lebih baik) atau kebolehannya membuat keputusan.
Lebih buruk jika ada yang menganggap dia tidak mempunyai imej diri yang baik. Pemikiran negatif seperti inilah yang akan menyebabkan seseorang itu lebih mudah berasa tertekan, gelisah, sukar menumpukan fikiran dan cuba mengelak bercakap dengan orang yang tidak dikenali ketika ada di satu-satu majlis.
Memang diakui banyak faktor di luar kawalan kita yang boleh mempengaruhi keyakinan diri tetapi ada beberapa perkara boleh dilakukan untuk memperbaiki keadaan seperti:
Berjalan cepat sedikit — Individu yang mempunyai keyakinan diri tinggi kebanyakannya berjalan cepat kerana mereka mengejar masa. Walaupun tidak mengejar masa, cubalah berjalan lebih cepat daripada biasa. Anda akan berasa keyakinan menjadi lebih baik.
Kaedah ini secara tidak langsung boleh menjadi ‘senaman’ kerana anda memaksa badan menggunakan lebih tenaga dan dapat menjimatkan masa. Anda akan mempunyai lebih masa untuk melaksanakan tugas harian.