Rekaan 'tailored sut' dengan pesak, lengan potongan jadikan wanita tubuh biasa tampak menarik
Memilih pakaian yang sesuai dengan bentuk tubuh sememangnya bukan tugas mudah. Adakalanya pilihan pakaian yang kita rasakan cantik boleh membuatkan kekurangan tubuh kelihatan lebih ketara.
Justeru, kebijaksanaan memilih gaya sepadan bentuk badan, usia dan tempat yang dituju paling utama.
Kazsman |
Saudari, perkara pertama yang perlu dikenal pasti adalah ciri tubuh saudari. Berdasarkan ciri diberitahu, saya dapati saudari seorang wanita yang mempunyai ketinggian normal tapi bertubuh agak besar dan lebar.
Jadi, gaya ke pejabat yang disarankan untuk wanita yang memiliki tubuh normal dan lebar adalah rekaan ‘tailored sut’.
Perhatikan lakaran yang dihasilkan, teliti setiap perincian jahitan yang dibuat pada sut dan kain. Ia bukan sekadar hiasan tapi mampu memanipulasi kekurangan tubuh saudari supaya kelihatan tidak terlalu gempal.
Jangan lupa, peranan ‘princess cut’ atau pesak pada sisi baju bertujuan untuk menampakkan potongan baju yang kemas dan terletak pada badan.
Untuk kelainan, saya sarankan anda mencuba rekaan sut dengan penggunaan lengan potongan ‘ledge of mutton’ bersama butang pada ‘cuff’ yang dibuat agak lebar (5 hingga 7 inci).
Selain menampakkan ciri feminin, penggunaan cuff memudahkan pergerakan anda semasa sedang bekerja.
Padankan sut berkenaan bersama kain yang dipotong enam. Pastikan kain berkenaan menampakkan susuk tubuh anda tapi elakkan potongan baju dan kain yang terlalu ketat atau terlalu longgar.
Selain ‘tailored sut’, gaya lain yang boleh anda gayakan ketika ke pejabat adalah potongan baju yang berpinggang misalnya baju kurung moden, kurung pesak gantung. Elakkan memilih baju kurung biasa kerana ia boleh membuatkan gaya anda kelihatan selekeh dan gempal.
Tip: Memilih jaket sesuai wanita bertubuh gempal
Profil: Kazsman
Usia: 40 tahun
Asal: Ipoh, Perak.
Pencapaian : Pemenang tempat kedua Piala Jarum Berlian 1999, tempat ketiga Pesona Pengantin 2000 dan peserta akhir Piala Seri Endon 2004.
No comments:
Post a Comment