Kenali Gaya: Teknik 'tailored' manipulasi tubuh besar
Teliti lakaran yang dihasilkan dan lihat bagaimana mainan teknik ‘tailored’ boleh memanipulasi bayangan tubuh besar dan pada masa yang sama mampu menyerlahkan gaya sofistikated sesuai majlis persandingan penuh gemilang.
Pada bahagian atas gaun, saya sarankan anda menggunakan padanan fabrik sutera Thai dilapik kain belacu untuk mendapatkan efek statik. Oleh kerana anda sudah membeli renda Perancis berwarna ungu, gunakan renda berkenaan untuk tampalan pada tepi baju, bahagian lengan dan layah.
Usah risau kerana renda Perancis sememangnya mampu membiaskan pesona mewah namun prinsip saya, walau penggunaan tidak menyeluruh tapi cara ia dimanipulasi sudah memadai untuk menegaskan keanggunan dan kemewahan rekaan.
Saya sarankan anda memilih kombinasi dua tona berbeza iaitu ungu sebagai asas dan jingga cair sebagai gabungan untuk kelainan pada gaun persandingan itu nanti.
Empire cut yang memotong bahagian bawah payudara penting kerana ia dapat menyokong kedudukan payudara supaya nampak lebih kemas dan tidak terlalu menyerlah.
Bagi potongan ‘tailored’ pada bahagian dada perlu dibuat di atas garisan payudara dan dikemaskan dengan barisan butang bungkus sebagai kaedah untuk mengaburi kekurangan pada bahagian berkenaan.
Kelainan yang cuba ditonjolkan adalah pada bahagian lengan. Unsur ‘tailored’ jelas memperlihatkan kekemasan melalui penggunaan fabrik sutera Thai ditampal renda Perancis sehingga ke hujung lengan yang dijahit sendat.
Potongan kain sesuai untuk tubuh seperti anda adalah A line dipotong tujuh bertujuan untuk menyeimbangkan bayangan tubuh. Fabrik yang sesuai adalah satin crepe sebagai alas manakala lapisan luar, gunakan sutera sifon.
Oleh kerana anda bertudung, elakkan penggunaan tudung yang terlalu sarat dengan ikatan bunga atau sanggul. Ikatan tudung terbaik adalah yang kemas menggunakan fabrik memberi seperti lycra.
Pemilik tubuh gempal dinasihatkan tidak memakai terlalu banyak aksesori. Memadai jika anda sematkan satu kerongsang di dada atau hiasan tepi kepala sebagai ganti tiara. Boleh juga gantikan tiara dengan penggunaan bunga hidup seperti mawar dan orkid.
Pilih kain net nuansa jingga muda atau warna pucat senada yang ditampal renda dan bertatahkan manik berwarna ungu sebagai pelengkap gaya.
PROFIL: Rizman Ruzaini
No comments:
Post a Comment