Sunday, October 25, 2009

Fabrik Motif Flora, Abstrak dapat sambutan



Gabungan warna pada permukaan kain membezakan sutera Itali dan Korea

FABRIK dan motif yang mencorak sesuatu material amat penting dalam rekaan fesyen. Corak dan warna melengkapkan rekaan malah mampu merubah penampilan selepas ia sempurna menjadi sepasang persalinan.

Berpandukan peralihan musim yang melanda pentas peragaan antarabangsa ketika ini, apa yang dapat dirumuskan adalah perubahan ketara terhadap pilihan motif di kalangan penggemar fabrik ela terutama untuk dijadikan pakaian tradisi seperti kurung atau kebaya.

Pengarah Eksekutif Euro Moda Gulati’s, Jasleen Kaur, berkata suatu ketika dulu, motif flora umpama taboo bagi wanita tempatan tetapi kini ia turut menjadi pilihan wajib tanpa mengira status dan kumpulan umur.

“Kini, keterbukaan minda dan aliran gaya baru membuka ruang kepada kami memperkenalkan motif abstrak berona terang terutama dari pilihan fabrik sutera Itali berkualiti tinggi di semua rangkaian gedung Euro Moda Gulati’s.

“Bagaimanapun masyarakat masih sukar menerima fabrik bercorak abstrak sepenuhnya dan untuk itu kami mengambil inisiatif menggabungkan unsur flora bersama gandingan motif binatang, bentuk geometri, silinder atau permata bagi mengimbangi rekaan abstrak.
Jasleen sentiasa berbincang dengan kakitangannya bagi memastikan pilihan fabrik baru sentiasa mencukupi.

“Melihatkan sambutan setakat ini, kami mensasarkan fabrik bermotif abstrak bakal menjadi pilihan paling hangat dan sesuai digayakan di musim perayaan akan datang,” katanya.

Di Euro Moda Gulati’s, kain berlakar motif abstrak boleh didapati daripada pilihan pelbagai jenis material iaitu sifon, sutera, organza, kapas dan viscose.

“Bagaimanapun, kelebihan Euro Moda Gulati’s sebagai pengedar fabrik Itali terkemuka, kami memiliki pilihan fabrik Itali berkualiti dengan ragam corak abstrak yang lebih banyak.

“Antara jenama sutera Itali asli yang boleh didapati di gedung kami adalah Valentino, Ungaro, Lorenzo Riva, Giovanni Carozzi, Raffaella Cuviel dan Leonard,” katanya.

Rona terang dengan mainan corak abstrak dijangka menjadi pilihan ramai wanita untuk Aidilfitri nanti.

Lumrah alam, sesuatu yang hangat pasti akan menjadi ikutan ramai. Justeru Jasleen memberitahu, selain pilihan fabrik sutera Itali asli, kelompok pembeli yang inginkan fabrik berlakar motif abstrak masih mempunyai peluang bergaya seiring aliran fesyen tempatan.

“Sutera Korea adalah jawapannya. Bagaimanapun, perbezaan harga menentukan kualiti malah motif abstrak dihasilkan pada sutera Korea juga rata-rata berbentuk sederhana dan kecil berbanding motif pada sutera Itali yang lebih menyerlah.

“Gabungan warna pada permukaan kain juga berbeza di mana sutera Itali dihasilkan dengan gabungan antara tujuh hingga 13 warna manakala sutera Korea cenderung menggunakan antara dua hingga enam warna saja untuk satu kain,” katanya.

Jasleen berkata, selain pilihan sutera, Euro Moda Gulati’s turut menawarkan pilihan kain ela bermotif abstrak daripada fabrik sifon, organza, kapas dan viscose pada tawaran harga yang terbaik.

Kreativiti dan kebijaksanaan menyuai padan fabrik bercorak abstrak bersama material berbeza sama ada polos atau padanan corak sama boleh memberi kesan berbeza pada penampilan.

Jasleen berkata, ada tiga cara menggayakan persalinan corak abstrak daripada sutera Itali iaitu bersama padanan fabrik sifon bercorak sama sebagai baju atau untuk yang bertudung, material lembut seperti sifon juga boleh dijadikan selendang.

“Kakitangan Euro Moda Gulati’s juga mempunyai kepakaran memadankan fabrik sutera Itali yang anda gemari bersama gabungan fabrik renda mewah untuk pelanggan yang inginkan gaya eksklusif.

“Bergantung kepada bajet dan keperluan, pengunjung bebas memilih gabungan renda sama ada renda Jepun, Gucci atau Perancis tanpa manik atau siap tatahan manik sesuai majlis dihadiri,” katanya.

Kata Jasleen, selain tampil berbeza, padanan dua jenis material berbeza dengan corak yang sama menjadi trend terkini menggayakan fabrik bercorak abstrak.


INFO: Euro Moda Gulati's

  • Pilihan fabrik Itali di Euro Moda Gulati’s
  • Sifon (Georgette, Yarn Dyed, Silk)
  • Sutera (Crepe, Jacquard, Satin dan Washable)
  • Organza
  • Kapas
  • Viscose.

  • Euro Moda Gulati’s menawarkan harga terbaik untuk sutera Itali bercorak iaitu di antara RM68 hingga RM300 semeter.

  • Sutera Itali asli dan sutera Korea

  • Bidang kain sutera Itali adalah 45 inci manakala sutera Itali lebih lebar iaitu 58 inci.

  • Sutera Itali ditampilkan di dalam rona terang dengan corak besar berbeza untuk sutera Korea yang berhias corak kecil dan sederhana
  • No comments:

    Post a Comment