Sunday, October 25, 2009

Ikatan Tudung Mampu Ubah Gaya




Selendang Syahirah

Aksesori seperti kerongsang mampu berikan ilusi wajah lebih sempurna

IKATAN tudung mampu mengubah gaya wanita. Seperti juga dandanan rambut, cara ikatan berbeza dengan tambahan aksesori khusus untuk wanita bertudung mampu memberikan kelainan pada muslimah yang suka bergaya.

Pemilik Butik Pengantin Muslimah Syahirah, Ismail Abdul Rahman, berkata pemakaian tudung boleh menutup kekurangan pada bentuk wajah pengantin.

“Seperti apa yang kami lakukan sejak 10 tahun lalu, pemakaian anak tudung yang dijahit sesuai dengan ciri wajah wanita tempatan menjadi rahsia kejayaan Butik Pengantin Syahirah.

Ismail juga melakukan perubahan cara pemakaian tudung dengan menggunakan bantuan sanggul rambut palsu selain kreatif menukar gaya ikatan mengikut perubahan musim.

“Semuanya bagi memberikan keseronokan pada pengantin bertudung kerana saya sendiri sedar, ramai pengantin wanita kecewa dan teringin bercucuk sanggul ketika berkahwin.

Tudung Jurai Gipsi

“Justeru, cara ini sedikit sebanyak dapat membantu mereka mengubah persepsi terhadap tudung. Dalam pada itu saya juga mahu mereka tahu, peranan tudung sama seperti rambut dan cara ikatan tudung mampu merubah wajah ratu sehari,” katanya.

Wajah bulat dan bersegi

Pengantin wanita berwajah bulat disaran mengenakan tudung bersama tambahan sanggul tinggi di belakang kepala.

Kata Ismail, sanggul tinggi dan bentuk anak tudung yang runcing di tengah dahi boleh membantu melembutkan bentuk wajah tidak sempurna seperti bersegi dan bulat.

“Selendang yang dipakai tidak perlu dilipat di bahagian sisi wajah dan tarik bahagian tudung yang disemat pin berdekatan dagu bukan di leher. Dengan cara itu, bahagian rahang yang bersegi atau pipi yang berisi dapat disembunyikan.

“Aksesori seperti kerongsang juga memainkan peranan penting kerana pilihan kerongsang berbentuk runcing boleh memberikan ilusi wajah bujur. Pastikan juga lapisan hujung tudung membentuk V atau V senget di bahagian dada kerana bentuk runcing ke bawah boleh mempengaruhi bentuk wajah yang tidak sempurna kelihatan bujur,” katanya.

Selendang Syahirah

Selendang panjang boleh digayakan dengan pelbagai ikatan berbeza. Hujung selendang boleh dibentuk bulat atau V bertujuan memberikan ilusi bujur pada wajah bersegi, bulat atau dimensi pendek.

Langkah 1: Sarungkan serkup keras bersama anak tudung Syahirah dengan kemas.

Langkah 2: Letakkan selendang Syahirah, pastikan hujung sebelah kiri lebih pendek berbanding hujung sebelah kanan bagi memudahkan lilitan dibuat. Kemudian tarik hujung sebelah kiri membentuk V senget lalu disemat peniti di kedua-dua belah bahu.

Langkah 3: Tarik hujung selendang sebelah kanan membentuk V senget selari V pertama lantas disemat peniti bertujuan untuk mengemaskan ikatan.

Langkah 4: Pastikan pemakaian tudung kemas sebelum dipakaikan aksesori seperti kerongsang besar, tiara atau juraian manik.

Tudung Jurai Gipsi

Tudung gipsi sesuai pengantin berwajah bujur, bagaimanapun, pemakaian anak tudung Syahirah bersama sedikit rambut palsu membentuk sanggul tinggi di bahagian belakang kepala dapat membantu memberikan ilusi bujur pada pengantin berwajah bersegi atau bulat.

Langkah 1: Pakaikan anak tudung keras bersama sedikit rambut palsu dan lapiskan anak tudung Syahirah kemudian ikat kemas. Jika perlu, semat peniti di bahagian sanggul supaya ikatan anak tudung benar-benar kemas.

Langkah 2: Letakkan selendang, pastikan hujung sebelah kiri lebih pendek berbanding hujung sebelah kanan bagi memudahkan lilitan dibuat.

Langkah 3: Sematkan pin bersama peniti di bahagian sanggul kemudian hujung tudung dipintal membentuk lingkaran di bahagian belakang kepala.

Langkah 4: Letakkan aksesori juraian manik sebelum dipakaikan layah kembang payung dan tiara

No comments:

Post a Comment