Sunday, October 25, 2009

Gaya "Berani Wanita" Gempal



Anda mempunyai tubuh yang tinggi dan berbadan besar. Jadi, saya sarankan supaya anda menggunakan material yang meregang seperti kapas lycra, sifon atau jersey untuk dijadikan pakaian.

Bagaimanapun, potongan baju perlu diberi perhatian kerana mereka yang mempunyai tubuh seperti anda perlu mengelakkan daripada mengenakan baju yang terlalu besar atau terlalu longgar.

Justeru, baju potongan A lebih sesuai kerana ia kelihatan longgar tapi tetap memberi bentuk pada tubuh anda. Pilih skirt lurus potongan A kerana ia boleh melindungi bahagian paha dan pinggul anda.

Kadangkala membeli pakaian siap agak sukar terutama kepada mereka yang berdepan dengan masalah berat badan. Jadi saya sarankan anda lebih fokus kepada baju yang bermotif kecil tapi tidak terlalu sarat.

Baju kosong tanpa corak juga lebih menarik jika dihiasi efek jahitan seperti drip yang saya tonjolkan melalui lakaran. Teknik drip yang dibuat di bahagian lengan dan dada baju bertujuan untuk menyerlahkan gaya supaya tidak kelihatan terlalu ringkas dan membosankan.

Untuk kelihatan lebih bergaya, lengkapkan penampilan dengan padanan tali pinggang besar berhias motif. Bagaimanapun, kedudukan tali pinggang seharusnya pada garis pusat kerana jika ia diletak terlalu tinggi, tubuh akan kelihatan terlalu besar.

Disebabkan anda bertubuh besar, elakkan mengenakan terlalu banyak aksesori pada satu-satu masa.

Beranikan diri untuk bermain dengan warna. Elakkan warna cerah seperti putih kerana ia boleh menampakkan anda kelihatan lebih besar. Pilih warna ceria seperti ungu, biru, merah dengan padanan warna asas yang serasi seperti hitam dan coklat.

No comments:

Post a Comment