Sunday, October 25, 2009

STAILO: WARNA vs KULIT


KEMAJA rona terang mungkin tampak menyerlah digayakan orang lain, bukan diri sendiri. Bukan saja kelihatan canggung, warna yang tidak kena dengan kulit bisa menenggelamkan keterampilan keseluruhan jejaka.

Semestinya warna terang seperti merah, kuning, biru dan hijau mampu menaikkan seri. Apatah lagi andai warna itu menjadi pilihan untuk digayakan ke acara hiburan. Sarungkan jaket, kemeja dan aksesori pelengkap gaya berona terang - anda pasti menonjol!

Penggunaan warna yang tepat mampu memberi kesan baik selain meningkatkan keyakinan diri. Namun tidak semua jejaka bebas memilih warna mengikut cita rasa sendiri. Ini kerana warna bersifat global dan harus diberi perhatian biarpun sekadar menghadiri majlis santai.

Mengapa pemilihan warna pakaian menjadi isu sensitif? Semestinya jejaka harus peka dalam memilih warna yang sesuai dengan kulit. Ini penting bagi mengelak kulit tampak kusam, tenggelam atau menyerlah atas faktor salah. Kesilapan memilih warna boleh menampakkan jejaka tidak bijak berfantasi dengan mainan warna.

Bagi memastikan jejaka serasi dengan warna dipilih, rona pakaian haruslah memperlihatkan diri mereka lebih cerah. Pemilihan rona warna hitam dan putih mungkin jalan paling selamat bagi jejaka yang takut berfantasi dengan warna.

Namun begitu, tidak bermakna jejaka tidak boleh mencuba warna lain. Biarlah rona yang dipilih tidak memberi kejutan kepada sesiapa yang melihat. Jangan ragu meminta pendapat orang lain termasuk jurujual butik pakaian, kenalan rapat mahupun teman wanita untuk memastikan pilihan warna benar-benar sesuai.

Selain itu, apa kata cuba dulu pakaian yang mahu dibeli? Lihat hasilnya di depan cermin dan cubalah pelbagai variasi warna yang ada. Siapa tahu, mungkin warna yang tidak pernah digayakan sebelum ini mampu mencipta kelainan dan menyerlah personaliti anda?

Jejaka berkulit cerah mungkin tidak menghadapi masalah memilih rona baik terang atau gelap. Warna terang harus dielakkan bagi jejaka berkulit gelap dan kusam. Sebaiknya, pilihlah warna cerah dan lembut untuk mengimbangi gaya.

Padanan kontra warna mungkin boleh disesuaikan antara kemeja dan seluar bagi membolehkan variasi warna dicetus mengikut kesesuaian.

Usah terhad dan takut untuk berfantasi dengan rona warna. Zaman ini, lelaki sudah berani menggayakan rona merah jambu dan warna lain yang sebelum ini dianggap pantang bagi lelaki. Kreativiti tiada batasan!

XY - Stailo minggu ini berkongsi tip bagi jejaka memilih warna pakaian yang sesuai. Diharapkan, selepas ini almari pakaian anda tidak lagi dimonopoli rona sama - putih, hitam dan biru!

Panduan memilih warna pakaian mengikut warna kulit

Kulit gelap

  • Lebih baik memilih rona berlawanan dengan kulit. Antara warna terbaik untuk jejaka berkulit gelap ialah putih, merah jambu, khaki, kelabu dan biru lembut.

  • Elak memilih warna coklat gelap, hitam, merah gelap dan hijau. Untuk yang berkulit agak coklat paduan warna terang dan gelap mampu menyerlahkan kulit secara keseluruhan. Antara warna yang disarankan termasuklah hitam, putih, merah jambu dan biru laut.

    Kulit putih

  • Pilihlah warna terang, lembut dan pastel. Pemilihan warna yang tepat mampu menyerlahkan penampilan. Antara warna yang serasi termasuklah putih bersih, coklat, biru terang, merah dan hitam.

  • Tidak bermakna kulit cerah bebas berfantasi pelbagai warna. Beberapa warna seperti ungu, jingga dan kuning tidak menyerlahkan penampilan jejaka berkulit cerah.
  • No comments:

    Post a Comment